Friday, October 16, 2009

Slogan Najib Bukan Ancaman

Ramai yang terpegun dengan agenda perubahan yang disuarakan Umno dalam perhimpunan mereka yang telah pun berakhir. Presiden Umno , Dato' Seri Najib telah mengemukakan slogan bertema Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan.

Ya, nampak enak sekali ucapannya, kuat sekali keazamannya. Tetapi, sebagaimana yang menjadi kebimbangan Najib sendiri, maka apakah rakyat boleh berharap dengan slogan yang sudah terlalu banyak yang akhirnya slogan tetap tinggal slogan.

Saya mengikuti ucapan-ucapan para perwakilan Umno dalam perhimpunan agong itu sekali sekala. Tetapi apa yang saya dengar hasil dari ucapan sekali sekala itu sudah boleh saya boleh disimpulkan Umno sebenarnya tidak berubah.

Aspirasi Umno Bukan Aspirasi Rakyat

Perwakilan Umno yang berucap yang juga boleh dikatakan kepimpinan akar umbi tidak langsung memahami aspirasi ucapan Najib. Entah apa pasalnya, barangkali kerana resapan budaya dalam Umno yang selama pulohan tahun. Aspirasi Umno bukan aspirasi rakyat. Mereka tak faham pun bahasa rakyat.

Hanya memikirkan soal kedudukan, pangkat dan kenikmatan dunia, sebenarnya mereka jugalah pembunuh slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Bagi mereka segala-galanya mestilah Umno.

Najib tidak boleh mengubah Umno seorang diri walau pun ia ingin berbuat demikian, tidak boleh. Aspirasi Najib perlu direalisasikan oleh akar umbi. Tetapi jelmaan dari akar umbi tidak menunjukkan mereka ingin kepada perubahan. Umno tetap dengan cara Umno.

Saya tidak bimbang dengan apa pun perkembangan dalam Umno. Umno adalah sebuah parti perkauman Melayu yang amat sempit. Sejarahnya bukan pendek, tetapi kesempatan tidak ada bagi rakyat menyongsangnya.

Perjuangan Umno sempit sekali, justeru itu tindakan mereka pada keseluruhan zamannya juga amat sempit. Dengarlah, lihatlah, bacalah apa yang dibincangkan oleh perwakilan Umno dalam perhimpunan mereka.

Tak Ada Beza Slogan Najib Dengan Slogan Sebelumnya

Apa beza budaya zaman Najib, budaya zaman Pak Lah, budaya zaman Mahathir dan yang lainnya, tak ada beza. Semuanya berkisar kepada peruntukan, kebendaan, penguasaan, pangkat dan kedudukan Umno. Umno yang disebutkan itu hanyalah mereka.

Sebab itu kita lihat selama ini bukan tidak ada peruntukan pembangunan untuk rakyat, ada, ada berbilion-bilion tetapi dapat manfaat besar dari peruntukan itu siapa. Tidakkah pemimpin Umno yang berkuasa di Bahagian-bahagian?. Kali ini mereka bersuara dalam nada yang tak ada bezanya dari dulu-dulu. Apa yang berbeza hanyalah ketua mereka, itu sahaja.

Bagi saya apa yang penting untuk melakukan perubahan kepada yang lebih baik mesti datang dari rakyat itu sendiri. Sudah ada bukti rakyat yang mempunyai asas dan kekuatan untuk berubah, telah melakukan perubahan. Rakyat ini adalah rakyat yang bebas dan bermaklumat.

Cabaran memberi Maklumat Besar

Sayangnya, saya juga sedar tidak semua rakyat terutama orang Melayu dan bumiputra di kawasan-kawasan pendalaman mempunyai asas itu. Inilah masalah besar, cabaran besar dalam agenda perubahan. Inilah eksploitasi Umno sejak sekian lama.

Kalau kita lihat dari keputusan pilihanraya yang lalu, rakyat yang ada kemampuan menilai adalah dari kalangan mereka yang bermaklumat. Di kawasan pendalaman memang bermasalah. Mereka tak ada maklumat untuk dijadikan asas untuk menilai. Sebab itu cabaran memberi maklumat ini cukup besar

Kedua, cabaran politik kepimpinan tidak lagi ada hadnya. Penelitian rakyat tiada had kepada Umno BN sahaja tetapi juga kepada Pakatan Rakyat.

Umno Tertekan Guna Kuasa

Umno kini berhadapan dengan kesukaran melakukan penghujahan politik. Dizaman rakyat merealisasikan media baru ini Umno jelas tertekan. Mereka tak ada keupayaan bersaing setakat ini.

Walau bagaimana pun Umno masih ada tradisi kuasa. Hanya dengan kelebihan memiliki kuasa itu mereka menjaga kepentingan politik. Dengan kuasa mereka menyahut cabaran yang datang dari Pakatan Rakyat. Umno telah memaksimakan penggunaan kelebihan kuasanya di Bagan Pinang baru-baru ini.

Ingin Berubah Tapi Bermasalah

Memang Najib sedar adalah sangat sukar untuk merakyatkan Umno pada waktu ini. Ketika mereka mempunyai keselesaan sebelum pilihanraya umum lalu pun mereka tidak ada keupayaan. Tambah sekarang kebanyakan pemimpin Umno sangat bermasalah, maka bagaimana mereka mahu melaksanakannya. Tambah di negeri-negeri Pakatan Rakyat mereka tidak menunjukkan kemampuan untuk menjuarai isu rakyat kerana masalah yang mereka dihadapi.

Bagi saya, saya tidak berasa bimbang dengan slogan Umno bila-bila pun. Tetapi apa yang saya sangat bimbang ialah apakah Pakatan Rakyat melakukan perkara yang mampu dan berjaya dalam merealisasikan amanah yang diberikan rakyat dengan kuasa yang ada.

Pakatan Rakyat terutama PAS yang rata-ratanya yang masih mengharapkan sokongan tradisi orang Melayu, sedang orang Melayu mempunyai segala macam kelemahan yang juga tradisi. Kerja keras yang mesti dilakukan terhadap golongan ini. Bagaimana mahu memecahkan tradisi itulah persoalan yang mesti dijawab.

PAS dan PR Perlu mampu jadi Altenatif

Peranan yang sangat besar dan mencabar ini perlu dilaksanakan oleh PAS jika mahu dilihat rakyat sebagai altenatif terbaik menggantikan Umno. Sebagaimana hasrat Umno begitu juga PAS. Mereka perlu menjadikan diri mereka pemimpin rakyat, bukan hanya pemimpin parti semata-mata.

Kelemahan Umno kerana sikap dan budaya rakus berkepentingan diri. Sesetengah orang pula melihat sikap PAS memencil diri. Memang benar jika paradigma lalu tidak diubah. Kedua-dua budaya ini tidak selesa buat rakyat. Untuk merebut hati rakyat maka ahli dan pimpinan PAS perlu menjadikan diri mereka diri rakyat. Suara mereka suara rakyat, pemikiran mereka pemikiran rakyat.

Sebagaiman keazaman pemimpin Umno dan PAS mahu menjadikan Syaidina Umar Al Khatab sebagai ikutan kerana jiwa dan budayanya yang rakyat, maka tingkah laku mestilah seiring dengan syaidina Umar. Kalau itu sebagai penunjuk arah untuk berubah maka PAS ada kelebihan dari Umno kerana Umar tidak rasuah sedang Umno sentiasa bergelumang dengan rasuah.

Hanya yang penting dalam pertarungan ini ialah manifestasi kuasa sebagai pemerintah Umno yang sentiasa memaksimakan kuasanya untuk berhadapan dengan hati dan pemikiran rakyat. Maka persoalannya ialah apakah PAS dan Pakatan Rakyat sudah menguasai hati dan pemikiran rakyat itu?.

Pertarungan ini tidak juga mudah. Cuma sejarah membuktikan hati dan pemikiran rakyat selalu menang. Mampukan PAS dan Pakatan Rakyat menjadi hati dan pemikiran rakyat. Itulah yang sepatutnya menjadi kebimbangan bukan slogan Umno atau slogan Najib.

Friday, October 09, 2009

Masa Untuk Rakyat Menolak Politik Umno Yang Kotor.

Ramai yang mula menganggap PRK Bagan Pinang adalah pilihanraya yang terkotor dalam sejarah walau pun tempoh berkempennya belum tamat. Sebagaimana dilaporkan media, berbagai insiden ganas yang dikatakan dilakukan pemuda samseng Umno semalam termasuk insiden menetak dengan parang kepala pemuda PAS sesuka hati.

Peliknya kejadian samseng pemuda Umno itu, ia seolah-olah dirancang secara rapi. Malahan ianya nampak halal kerana dibiarkan berlaku begitu rupa.

Mengapa Polis Tak Mampu Cegah Keganasan?.

Anehnya pada setiap PRK pihak keselamatan terutama polis berhimpun pada sekala yang besar. Ini tidak terkecuali di Bagan Pinang. Kebanjiran pihak keselamatan disetiap PRK selalu dibantah oleh pemimpin politik pembangkang dari Pakatan Rakyat atas alasan rakyat tidak selesa atas kehadiran begitu ramai Polis.

Namun, apa yang selalu di dengar, pihak polis memberi alasan bahawa kehadiran mereka yang ramai untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

Tetapi dengan peristiwa pemuda samseng Umno memarang pemuda PAS sesuka hati dan dikatakan berlaku tidak jauh dari balai polis di Bagan Pinang maka timbul pula persoalan adakah pihak polis telah menjaga keamanan dan keselamatan?. Ini yang peliknya.

PRK Bagan Pinang Terkotor.

Ya betul, PRK Bagan Pinang adalah yang terkotor, dikatakan juga sekotor calon perasuah kebanggaan Umno. Anehnya kekotoran dalam setiap PRK akan berlaku pada setiap kali melibatkan penyertaan Umno.

Kalau bukan Umno barangkali, hatta kalau dari parti kompenan BN lain pun mungkin lain sedikit, tidak sekotor dengan penglibatan Umno.

Di PRK Bagan Pinang,ia melibatkan Umno. Maka mahu tidak mahu ia terpaksa jadi kotor. Penyerapan budaya Umno dalam pilihanraya seperti rasuah dan keganasan terpaksa diterima rakyat. Sebagaimana kotornya setiap kali berlaku pemilihan dalaman Umno maka PRK yang melibatkan Umno juga terpaksa turut kotor.

Bagan Pinang Macam Lubok Merbau?

Kalau dalam pemilihan Umno, pemimpin merasuah ahlinya maka dalam setiap pilihanraya rakyat pula dirasuah. Kalau dalam pemilihan Umno ada adegan baling kerusi maka dalam pilihanraya kecil rakyat pula ditetak. Demikianlah apabila ianya melibatkan Umno. Ini bukan isu baru, ahli PAS dan rakyat keseluruhan masih ingat peristiwa Lubok Merbau dan banyak peristiwa lain.

Rakyat Mampu Bersihkan Kekotoran Umno

Negara kita sedang menghadapi krisis kekotoran yang sukar untuk dibersihkan. Kekotoran kuasa, kekotoran minda yang akhirnya melahirkan kekotoran sikap pemimpin negara yang menyaluti pemimpin Umno yang berkuasa . Sukar untuk dibersihkan tetapi boleh dibersihkan jika rakyat bersatu hati mahu membersihkannya.

Kalau kita teliti dengan cermat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Umno mengenai calonnya yang rasuah, maka kita akan dapat simpulkan bagaimana mereka masih belum mampu keluar dari sikap yang pengotor itu. Rakyat sepatutanya bimbang dengan keadaan ini. Negara dalam bahaya jika dibiarkan pemimpin yang kotor dengan rasuah ini terus berkuasa.

Nasihat Mahathir Tak Ada Harga

Keadaan ini diakui sendiri olen Mantan Perdana Menteri yang juga Mantan Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad. Keengganan Umno untuk membersihkan tubuh mereka dari elemen rasuah menyebabkan Tun Mahathir terpaksa memulaukan kempennya untuk Umno di Bagan Pinang.

Mahathir cuba bersikap tegas dalam isu rasuah. Tetapi apa yang ada pada nasihat Mahathir lagi. Dia tidak punya kuasa apa-apa. Malahan tak ada siapa pun yang mahu percaya Umno mahu menerima nasihat Mahathir itu. Mahathir tidak akan mampu menghalang budaya kotor dalam Umno. Pencalonan Isa Samad itulah buktinya. Nasihat Mahathir tidak ada harga lagi.

Pemimpin Umno Halalkan Cara

Bagi menghalalkan cara, pemimpin Umno yang berkuasa mengeluarkan kenyataan yang mahu rakyat menerima sebagaimana yang diucapkan Timbalan Presiden Umno, Mahyiddin Yassin dalam kenyataannya selepas pengistiharan Isa Samad sebagai calon Umno, di Bagan Pinang.

Kata Mahyiddin, oleh kerana ini adalah pilihanraya kecil, apa yang penting ialah rakyat didahulukan, rakyat di Bagan Pinang mesti didahulukan, mana rakyat hendakkan, itu yang kita akan beri.

Kenyataan Pemimpin Umno Tidak Berprinsip

Menyokong kenyataan Timbalan Presiden Umno itu ialah kenyataan Naib Presidennya Dato’ Seri Hishammuddin Hussein yang turut mempunyai maksud yang sama. Kata Hishammuddin dalam memperkatakan pencalonan Isa Samad,

“Beliau adalah calon yang sangat tepat untuk BN. Ini adalah pilihan rakyat dan dan kita perlu menghormati kehendak rakyat. Rakyat didahulukan”. Kenyataan kedua pemimpin Umno tertinggi ini disiarkan media secara terbuka dan telah dibaca secara meluas diseluruh Negara.

Dalam dunia yang serba moden dan pintar sekarang ini sukar untuk kita percaya kenyataan sebegini boleh keluar dari pemimpin tertinggi Umno. Tetapi itulah yang berlaku. Mereka mengeluarkan kenyataan yang sangat tidak berprinsip disaat rakyat dan negara sangat memerlukan kepimpinan yang berprinsip dan bertanggung jawab.

Isa Samad telah dihukum Umno kerana rasuah,ini bererti Isa Samad memang pernah melakukan rasuah. Pencalonan beliau sudah tentu memberikan implikasi buruk keatas imej kepimpinan negara.

Sebab itu rakyat mestilah ada kebimbangan jika mereka memilih Isa Samad maka ini bererti mereka turut menyumbang kepada berlakunya kadar peningkatan indeks rasuah dalam negara.

Umno Kelirukan Konsep Rakyat Didahulukan

Sedangkan diperingkat antarabangsa negara kita telah tercemar dengan teruk atas isu rasuah. Ini memalukan, Atas isu rasuah bagi Umno ianya tidak mengapa asalkan mereka boleh mengekalkan kuasa.

Kalau dilihat akan implikasi dari kenyataan pemimpin Umno itu ialah kalau rakyat hendakkan pemimpin rasuah mereka boleh berikan perasuah. Kalau rakyat hendakkan pemimpin mereka perompak Umno boleh berikan perompak, itulah yang difahamkan dari pemikiran mereka. Mereka guna alasan ‘Rakyat Didahulukan’. Mereka mengelirukan rakyat atas konsep tersebut.

Inilah mentaliti pemimpin Umno, itulah budaya mereka. Sebab itu sukar bagi negara membentuk budaya bersih, telus dan berintergriti sebagaimana dibimbangi Tun Mahathir.

Tak Ada Pemimpin Bersih Dalam Umno

Untuk membentuk budaya bersih dalam pemerintahan maka pemimpinnya perlu lebih terdahulu bersih. Tetapi dalam Umno seolah-olah tidak ada yang bersih, itu masalahnya.

Sebab itu, Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak apabila diasak mengenai ketidakpuasan hati rakyat terhadap pencalonan Isa Samad sebagai calon Umno di Bagan Pinang terpaksa melakukan pembelaan tidak waras.

Kata Najib, dari segi kesalahan, hukuman (yang dijalaninya) sudah berat, oleh itu Isa perlu diberi peluang. Dia tidak pernah menentang parti walaupun (ketika itu setelah diambil tindakan) tidak lagi berada dalam parti. Insya-Allah, Isa ada peluang yang baik (untuk menang).

Kenyataan Najib ini jauh terpesong dari ajaran Islam, malahan juga dari system pendidikan kovensional. Memanglah, manusia ini kecuali para Nabi tidak sunyi dari melakukan salah dan silap,itu kita akui, kita memang bukan maksum kerana kita bukan nabi.

Walau bagaimana pun ada cara dan ada system yang diajar bagaimana untuk kita membetulkan salah dan silap yang telah kita lakukan untuk kembali menjadi manusia bersih. Ada cara membetulkan kesalahan dan kesilapan.


Isa Samad Belum Taubat?

Proses membetulkan kesalahan dan kesilapan samada yang kecil apa lagi yang besar macam kesalahan rasuah Isa Samad itu memerlukan dua proses penting iaitu taubat dan hukuman.

Mengikut cara Najib, Isa Samad telah melalui proses hukuman yang dilaksanakan Umno. Kena atau pun tak kena dengan undang-undang, itu lain kira bagi dia. Tetapi Umno dah kenakan hukuman. Cara itu hanya diterima oleh Umno. Kalau Isa nak bertanding dalam Umno mungkin ada lojiknya cara itu kerana itu budaya Umno.

Tetapi apabila bercakap dalam menentukan kepimnpinan negara maka cara hukuman Umno itu sangat tidak releven. Cara hukuman Umno keatas Isa itu tidak diterima rakyat secara keseluruhan, apa lagi kalau dihubungkaitkan dengan perundangan.

Untuk memilih pemimpin, Islam menuntut pemimpin yang ingin dipilih itu mestilah terdiri dari yang bersih. Oleh yang demikian itu Isa perlu membersihkan dirinya. Persoalannya adakah Isa sudah membersihkan dirinya?, apakah Isa sudah bertaubat?.

Taubat dalam Islam memerlukan Isa melakukan tiga perkara iaitu menghentikan amalan rasuah, menyesal kerana telah melakukan rasuah dan berikrar tidak akan melakukan rasuah. Apakah ini telah dilakukan Isa Samad?. Rakyat tidak mendengar pengakuannya.

Tidak mungkin Isa dan Umno boleh meningalkan rasuah jika mereka tidak berazam untuk meninggalkan rasuah. Rasuah sudah menjadi budaya mereka. Lihat saja cara mereka berkempen dalam menghadapi pilihanraya. Rasuah digunakan sebagai senjata. Justeru bagaimana untuk kita percaya mereka boleh meninggalkan rasuah.

Sebab itu kalau negara ini mahu dibersihkan dari rasuah, maka yang boleh membersihkan negara ini dari amalan rasuah bukan Umno atau Isa Samad, tetapi rakyat. Umno dan Isa tidak boleh kerana mereka telah berada dalam najis rasuah.

Kalau mahu melihat amalan rasuah itu suatu kesalahan dan dosa, maka yang melihat rasuah itu suatu kesalahan dan dosa bukan Umno tetapi rakyat. Barangkali sebab itulah Mahathir desak rakyat tolak pemimpin Umno yang rasuah.

Rakyat Bagan Pinang Mampu Tolak Calon Rasuah

Tidak cukup dengan cara penolakan Mahathir, rakyat di Bagan Pinang perlu bertindak lebih jauh dari itu. Rakyat di Bagan Pinang mestilah tahu bukan hanya calon Umno yang rasuah yang mesti ditolak tetapi Umno itu sendiri sebagai parti rasuah yang juga perlu ditolak.

Jika rakyat bersetuju amalan rasuah itu kesalahan dan dosa, maka rakyat jugalah yang perlu berani dan tegas menolak parti rasuah dan calonnya yang rasuah. Hanya itulah cara untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan negara. Segala-galanya boleh dilakukan rakyat di Bagan Pinang.