Tuesday, August 18, 2009


Martabatkan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Ilmu

Hari ini adalah hari yang melegakan, kepenatan dalam mengusahakan kovensyen memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan pebudayaan bangsa telah berakhir dengan kepuasan dan kegembiraan.

Puas hati kerana matlamat yang dihajatkan telah tercapai. Gembira pula kerana kehadiran semua pihak termasuk tetamu istimewa, Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said atau Pak Samad sudi membentangkan ilmu dan isi hatinya sebagai pejuang bahasa dapat dikongsi para peserta.

Penjajahan Bahasa Penjajahan Minda

Bukan senang untuk menganjur kovensyen membabitkan isu besar seumpama ini. Tambahan di negara kita yang terlalu terbuka dalam pengamalan bahasa, sehinggakan menurut kata Pak Samad oleh kerana rata-rata pemimpin negara dan pengikutnya sudah tertanam dalam minda bahawa hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh membawa kemajuan.

PAS Pahang Catat Sejarah Perjuangan Bahasa

Namun segala- galanya telah berlalu. Konvensyen bahasa itu sudah menjadi salah satu sejarah perjuangan bahasa dalam negara ini yang diusahakan PAS Pahang.

Menarik, Sebelum dan selepas kovensyen saya telah ditanya ramai orang termasuk para wartawan tentang tujuan diadakan kovensyen dan rasional ianya diadakan.

Saya mempunyai jawapan yang amat mudah. Saya membawa masyarakat untuk merujuk kepada artikel 152 Perlembagaan Malaysia yang memberikan kedaulatan terhadap bahasa Malaysia yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Skop yang amat mudah kepada kita melihat soal perlembagaan dan undang-undang sebagai suatu perkara yang sepatutnya menjadi perjuangan bukan sahaja oleh PAS dan orang yang macam Pak Samad, juga sepatutnya menjadi perjuangan seluruh rakyat yang bermoral.

Saya juga menyatakan kepada rakan dan wartawan, bahawa PAS mempunyai sikap yang amat jelas tentang kedudukan bahasa. Seriusnya PAS dalam memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara boleh dilihat dalam Fasal 6, perkara 7, Perlembagaan PAS. Ini bererti penganjuran kovensyen bahasa PAS Pahang adalah salah satu aktiviti teras yang dilaksanakan PAS.

Banyak Cara Kuasai Ilmu

Kalau kita menggunakan hujah akademik, mengapa kita memandang berat terhadap pengukuhan bahasa Malaysia ialah kerana kita mahu melihat segala pengaliran ilmu dalam masyarakat dan negara dapat dinikmati oleh semua.

Saya amat percaya bahawa bahasa yang paling mudah untuk diketahui dan paling ramai pengamalannya di negara ini ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Hatta, kalau kita tinjau buruh asing dari Bangledsh yang baru tiga atau empat hari di negara ini pun sudah boleh menggunakan bahasa Melayu. Memang pun mereka diajar tentang bahasa atau pertuturan Melayu di industri-industri dalam negara.

Kebetulan pula saya tinggal di kawasan kilang yang ramai buruh asing dari Myamar,Bangladesh, Nepal dan Asia Tengah lain. Mereka ini bukan sedikit, tapi beribu, malahan kalau diukur kepada kehadiran seluruh negara ratusan ribu atau mungkin juta pada satu-satu masa.

Apa makna ini semua?, Maknanya ialah bilangan penggunaan bahasa Melayu tidak lagi terhalang kepada manusia yang tinggal di nusantara, malahan kini sebahagian besar penduduk dunia. Inilah potensi pengembangan bahasa kita.

Menurut Pak Samad, penggunaan bahasa Melayu adalah pengunaan bahasa yang ke empat terbesar dunia. Kalau perkembangan yang saya sebutkan tadi membesar dengan baik maka ada kemungkinan cerah bahasa ini boleh memperbaiki rangking penggunaannya.

Aspek Ilmu Dan Pendidikan

Kita harus melihat dalam konteks penyampaian dan keberkesanan penyampaian untuk diterima sebagai suatu proses pendidikan dan ilmu di negara ini. Dalam konteks yang telah berlaku ialah PPSMI. Menurut Mahyuddin terdapat 3 juta pelajar korban PPSMI. Kenapa ini berlaku.?

Tidakkah kita merada sedih dan dukacita hanya dengan sikap sombong dan angkuh hanya kerana kita mahukan bahasa Inggeris diajar dalam Sains dan Matematik kita telah mengorbankan bangsa sendiri dan menyekat pengaliran ilmu walau pun ianya datang dari bangsa Inggeris.

Umno Bunuh Sistem Penyampaian Ilmu

Kerajaan Umno BN dan penyokongnya telah melakukan sesuatu yang tak kena dalam sistem pengajaran dan pembelajaran kita. Mereka membunuh sistem penyampaian maklumat dan ilmu yang baik dalam sistem pendidikan.

Bagaimana kita mahu melihat pelajar kita berjaya kalau apa yang diajar tidak difahami bahasanya oleh murid, sementara guru yang mengajar pula tidak memahami apa yang diajarnya. Sebab itulah pemimpin Umno perlu bertanggung-jawab atas apa yang telah berlaku.

Demokrasi dalam Pendidikan.

Mari kita melihat dalam aspek yang lebih besar iaitu pengamalan demokrasi dalam pendidikan. Pendidikan atau pengajaran yang berkesan ialah apabila kita mengajar orang dalam bahasa yang mereka boleh faham. Kalau kita mengajar dalam bahasa yang orang tak faham maknanya ada sesuatu yang tak sihat telah berlaku.

Dalam konteks penggunaan bahasa dan pengetahuan pelajar tentang bahasa, saya kira tentulah semua pelajar di negara ini boleh berbahasa Malaysia dengan baik berbanding bahasa lain dari sudut majoriti dan demokrasinya. Ini didokong fakta perlembagaan negara. Dalam perlembagaan terdapat artikel 152 yang menyebut tentangnya.

Hujah kedua saya guna dalam sistem pendidikan sendiri. Telah ada dasar pendidikan yang jelas iaitu penggunaan bahasa Malaysia sebagai penghantar.

Ini bermakna dalam sistem pendemokrasian pendidikan, penggunaan bahasa Malaysia dalam semua subjet kecuali pengajaran bahasa adalah tepat dan adil. Apa yang penting ialah bagaimana pengukuhan bahasa dalam konteks kenegaraan dan ilmu itulah yang sepatutnya menjadi pertikaian sebagaimana yang dihasratkan kovensyen.

Kedudukan Bahasa Inggeris.

Bukanlah bermakna apabila kita mengadakan kovensyen memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara maka kita mengabaikan kedudukan bahasa Inggeris. Tidak, sama sekali. Tetapi mengaggongkan bahasa Inggeris melebihi bahasa Malaysia saya tak setuju sama sekali.

Begitu juga kalau kita tak menekankan penggunaan bahasa Inggeris maka kita mundur, saya juga tak setuju. Kalau kita bercakap soal kemajuan dengan bahasa, mengapa kita sempitkan hanya kepada Inggeris.?

Inggeris tidak punya banyak sejarah membangunkan manusia dari banyak aspek pun. Tamadhun manusia banyak berlaku dan diasaskan dalam dunia dan bahasa Arab.Semasa dan selepas kejatuhan Islam pula yang paling hampir dengan perkembangan ilmu dan ketamadhunan manusia ialah Parsi, Perancis, Sepanyol dan lain-lain.

Mengapakah kita tidak menekankan kepada penggunaan bahas Arab, Pranchis, China, Jepun dan sebagainya. Kalau kita melihat dalam konteks ilmu dan kemajuan manusia, mengapa kita tidak memilih bahasa Arab?. Bukankah besar sumbangan bahasa ini terhadap pembinaan tamadhun manusia. Inggeris tak punya tamadhun yang besar sebesar Arab.

Sebab itu hujah untuk kita mencapai kemajuan hanya dengan menumpukan kepada bahasa Inggeris saya tak setuju. Kita perlu bertanya kepada diri untuk apa kita mengagongkan bahasa Inggeris?. Sebab itu bahasa Inggeris bukan jawapan segala-galanya untuk maju. Ada banyak cara untuk maju, pandai bahasa hanyalah sebahagiannya.

Memang bahasa digunakan sebagai salah satu penyaluran ilmu, tetapi untuk mewajibkan semua orang belajar bahasa itu tidak pula ada rasionalnya.

Sebagai contoh, ramai dikalangan umat Islam termasuk saya yang tidak mempunyai asas bahasa Arab, tetapi mengapa kita boleh menjadi orang Islam yang baik dari segi kefahamannya. Mengapa?. Jawabnya kerana Islam yang kita terima itu diajar dalam bahasa yang kita faham. Kemudian selepas itu baru kita berusaha belajar bahasa Arab. Penyaluran ilmu itu perlu dilihat lebih penting walau pun kita mengakui menguasai bahasa ilmu itu juga sangat penting.

Apa yang saya maksudkan ialah kemajuan dan ilmu sesuatu bangsa itu boleh dikecapi melalui banyak cara, tidak hanya mementingkan soal bahasa sahaja. kita perlu memfokuskan cara perkembangan ilmunya dan itulah yang lebih penting.

Saya memang bersetuju setiap dari kita mestilah belajar bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa yang lain terutama Arab. Tetapi hanya menunjukkan kebimbangan kepada bahasa Inggeris semata-mata membuatkan pemikiran kita masih terjajah. Membangunkan bahasa Inggeris ada caranya dan menggunakan pelbagai bahasa ada kepentingannya.

Nak belajar bahasa Inggeris, nak pandai bahasa Inggeris lebih dari orang Inggeris pun boleh. Tetapi mengapa harus dikorbankan bahasa sendiri.

No comments:

Post a Comment